(Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama rapat untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi/FOTO FB RINA HARUN)
BANGKOK, 25 Jun- Malaysia dan Vietnam berminat untuk menjalinkan kerjasama untuk menggalakkan usaha pemerkasaan sosioekonomi wanita dan kanak-kanak dalam era pasca COVID-19.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata langkah-langkah sewajarnya perlu diambil memandangkan wanita dan kanak-kanak perempuan adalah antara kumpulan rentan yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.
Justeru itu katanya, Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama rapat untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi.
Selain itu, kedua-dua negara juga akan membantu kanak-kanak kembali ke sekolah untuk membolehkan mereka mengikuti semula pembelajaran.
“Malaysia dan Vietnam akan bekerjasama untuk membantu wanita dan kanak-kanak meningkatkan kehidupan mereka selepas COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Naib Presiden Vietnam, Vo Thi Anh Xuan mengadakan pertemuan dua hala dengan Rina di luar Sidang Kemuncak Wanita Global 2022.
Antara agenda perbincangan dalam pertemuan itu adalah mengenai kerjasama dua hala antara Malaysia dan Vietnam termasuk mempromosikan kesaksamaan gender, pemerkasaan wanita dan perlindungan sosial untuk wanita dan remaja.
(Rina ketika mengadakan perbincangan bersama deligasi daripada kerajaan Vietnam/FOTO FB RINA HARUN)
Selain itu, Rina berkata Xuan turut mencadangkan Malaysia dan Vietnam bekerjasama rapat untuk menyediakan perlindungan sewajarnya kepada pekerja Vietnam terutamanya wanita yang berkerja di pelbagai sektor di Malaysia.
“Saya akan sampaikan perkara ini kepada Menteri Sumber Manusia (Datuk Seri M Saravanan),” katanya.
Statistik menunjukkan terdapat kira-kira 9,500 pekerja Vietnam di Malaysia.-BERNAMA