fb fb fb fb fb

Malaysia, Vietnam bincang isu kedua-dua negara melalui platform sedia ada

Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 19 Disember- Malaysia dan Vietnam sentiasa berbincang dan berunding mengenai isu-isu berkaitan kedua-dua negara melalui platform dua hala sedia ada.

Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Mohamad Alamin berkata Nota Diplomatik merupakan saluran komunikasi rasmi antara dua negara dan segala bantahan yang dibuat melalui saluran itu secara langsung menyatakan pendirian rasmi negara.

"Dalam hal ini dan dengan merujuk kepada kawasan perairan negara, Kerajaan Malaysia sentiasa tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di dalam kawasan maritimnya berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

"Selari dengan undang-undang antarabangsa termasuklah Konvensyen Undang-Undang Laut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, atau dengan izin, United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982.

"Menyatakan pendirian negara melalui saluran diplomatik merupakan amalan diplomasi Malaysia dan telah digunakan sekian lama," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim di Dewan Negara berkenaan tindakan Kementerian Luar terhadap Vietnam yang sebelum ini menuntut kawasan perairan milik negara.

Kerajaan juga sentiasa menegaskan pendirian Malaysia dalam setiap pertemuan dengan negara-negara luar di pelbagai peringkat.

Dalam pada itu, Mohamad Alamin turut menjawab pertanyaan mengenai implikasi tindakan kerajaan Filipina meluluskan akta baharu menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, dan melanggar sempadan maritim negeri.

Beliau menegaskan kerajaan tidak berkompromi berhubung isu berkenaan malah telah menghantar nota bantahan mengenai perkara itu. 

Mohamad Alamin berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang menyertai Malaysia pada 1963 dan telah melaksanakan hak mereka atau right to self determination untuk bersama-sama di dalam persekutuan berkenaan, melalui pengiktirafan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Jadi Filipina tidak ada hak untuk mengatakan bahawa Sabah itu adalah milik mereka dan dalam konteks ini, setelah mendapat nasihat daripada semua agensi Kementerian Luar Negeri telah menghantar nota bantahan terhadap Filipina.

"...bahawa akta-akta yang telah diluluskan itu, tidak selari dengan semangat undang-undang antarabangsa kerana melangkaui sempadan maritim kita," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI