
IPOH, 4 April – Malaysia perlu terus mengekalkan hubungan baik dengan semua negara dalam memastikan kestabilan ekonomi dan keamanan negara kekal terpelihara ketika dunia berdepan konflik serta ketegangan antarabangsa.
- Keamanan dan kestabilan ekonomi negara perlu dihargai sebagai nikmat, terutama ketika peperangan berlaku di luar negara.
- Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi stabil.
- Kenaikan harga baja dan makanan ayam boleh menjejaskan harga barangan; kerajaan berharap konflik antarabangsa dapat diselesaikan segera.
- Malaysia menegaskan kedaulatan dasar luar negara sendiri; tidak perlu menunggu persetujuan mana-mana kuasa besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keamanan serta kestabilan ekonomi yang dinikmati negara ketika ini merupakan satu nikmat yang perlu dihargai, terutama dalam suasana peperangan yang berlaku di luar negara.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan rakyat amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kekal stabil.
“Bulan ini mungkin boleh bertahan lagi, bulan depan mungkin meningkat. Harga baja naik, harga makanan ayam naik dan ini boleh menyebabkan harga barangan turut meningkat.
“Sebab itu kita berharap konflik ini dapat diselesaikan segera. Walaupun Malaysia bukan negara besar, kita bersyukur dan perlu berkawan dengan semua negara.
“Kita tidak perlu menunggu persetujuan mana-mana kuasa besar. Malaysia adalah negara bebas dan merdeka, kita tentukan sendiri dasar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra MADANI di Taman Perpaduan Koperasi Tambun, di sini.
Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut menyerahkan peruntukan berjumlah RM400,000 kepada masjid berkenaan serta menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 300 penerima.