NEW DELHI, 4 Jun- Malaysia menyampaikan ucapan takziah kepada India susulan nahas kereta api yang mengakibatkan ratusan nyawa terbunuh dan cedera pada Jumaat lalu.
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengucapkan takziah dan mendoakan kesembuhan kepada mereka yang cedera dalam tragedi yang berlaku di negeri Odisha itu.
"Kami bersama-sama dengan rakyat India pada masa yang sangat sukar ini," katanya menerusi Twitter.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi turut menyatakan simpati kepada India atas tragedi itu pada Sabtu.
“Kami bersama dengan kerajaan dan rakyat India mendoakan misi menyelamat akan berjaya dan kami juga turut bersimpati kepada waris mangsa,” menurut misi diplomatik Malaysia itu di Twitter.
Perdana Menteri India Narendra Modi yang melawat lokasi nahas di daerah Balasore Odisha pada Sabtu, berjanji akan mengambil tindakan terhadap kepada individu yang didapati menyebabkan berlakuya nahas itu.
Dalam kejadian yang melibatkan pertembungan itu, kereta api Coromandel Express dalam perjalanan menuju ke Chennai bertembung dengan kereta api Yesvantpur-Howrah Superfast sebelum satu daripada kereta api berkenaan melanggar kereta api barang.
Insiden perlanggaran tiga kereta api itu meragut hampir 300 nyawa dan mencederakan kira-kira 900 penumpang.
(Zambry Abdul Kadir)