fb fb fb fb fb

Malaysia – Turkmenistan meterai MoU, majukan bidang pelancongan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima,kanan) mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow di Bangunan Perdana Putra hari ini/Foto PMO

PUTRAJAYA, 19 Disember –Malaysia dan Turkmenistan sepakat menjalin kerjasama bagi memperkukuh dan memajukan bidang pelancongan demi faedah bersama pembangunan sosioekonomi penduduk di kedua-dua buah negara.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) beberapa bidang kerjasama dimeterai hari ini, melalui Memorandum Persefahaman (MoU), bersempena dengan lawatan rasmi Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke Malaysia.

Bidang kerjasama itu merangkumi pertukaran maklumat dan amalan terbaik, menggalakkan kerjasama antara pihak berkepentingan, mempromosikan lawatan dan penyertaan dalam pameran, serta menyokong pembangunan pelancongan mampan dan hijau.

Ke semua perkara itu telah dikenal pasti dan akan dibangunkan dalam tempoh 10 tahun (2024-2034). MoU ditandatangani oleh Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mewakili kerajaan Malaysia dan Menteri Kebudayaan, Atageldi Ashirovich Shamuradov,  mewakili kerajaan Turkmenistan.

“Kolaboratif strategik ini adalah bukti komitmen kedua-dua negara ke arah memupuk persefahaman bersama, pertukaran budaya, dan pertumbuhan ekonomi melalui lensa pelancongan,” menurut kenyataan tersebut.

MAT YUNUS BIN SABRI