fb fb fb fb fb

Guna laluan tidak sah, tiga lelaki mengaku tidak bersalah

Foto Hiasan

PASIR MAS, 19 Disember- Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majisret Pasir Mas, hari ini atas pertuduhan memasuki negara guna laluan tidak sah dari Thailand.

Kesemua individu terbabit melalui pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang, Kelantan pada 16 Disember lalu.

Tertuduh, Mohd. Karlili Mohd. Hussin, yang merupakan pemandu bot tambang bersama dua penumpangnya, Lim Teik Hooi dan Mohammad Azrol Azhar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memasuki Malaysia dari Thailand dengan menggunakan laluan yang tidak dibenarkan untuk masuk ke negara.

Kesalahan itu dilakukan mereka di tebing sungai dekat pangkalan haram Pohon Jambu, Rantau Panjang, Pasir Mas kira-kira pukul 4.00 petang pada 16 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahfuzah Hamizah Mohd. Ariff manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili  peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tiara Shahira Mohd. Wira.

Terdahulu, Mahfuzah Hamizah memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran untuk tidak mengulangi kesalahan sama dan menggunakan laluan yang sah selepas ini.

Tiara dalam rayuannya meminta hukuman denda paling minimum untuk ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM2,500 kepada setiap tertuduh dan penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ketiga-tiga tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Majistret Pasir Mas menjatuhkan hukum penjara tiga bulan kepada lelaki warga India selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berada di negara tanpa dokumen perjalanan yang sah pada 9 Disember lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Samrat Bajaj, bersama Sahil dan Naveen, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didapati berada di Malaysia tanpa sebarang pas kemasukan yang sah di tepi jalan Kampung Rantau Panjang kira-kira pukul 5.00 petang pada 9 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum bawah Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan tidak lebih enam kali sebatan jika sabit kesalahan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM