Malaysia–Turkiye yakin capai sasaran dagangan dua hala USD10 bilion

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan kenyataan bersama di Kompleks Presiden / BERNAMA

ANKARA, 8 Januari -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis, sasaran perdagangan dua hala bernilai USD10 bilion antara Malaysia dan Turkiye mampu dicapai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dua negara diperkukuh untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala USD10 bilion.
  • Fokus pada sektor strategik termasuk semikonduktor, pusat data kecerdasan buatan dan teknologi baharu.
  • Pertukaran MoU dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta kerjasama antara ISIS Malaysia dan SETA.
  • Perjanjian pertahanan disusuli pertukaran surat bagi perolehan satu unit Kapal Misi Pelbagai Guna.

Keyakinan itu didorong komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka peluang kolaborasi baharu dalam pelbagai sektor strategik.

Datuk Seri Anwar berkata, sasaran itu realistik mengambil kira kekuatan ekonomi Turkiye serta pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia yang kini menjadi tumpuan pelaburan bernilai tinggi.

“Sasaran USD10 bilion itu sebenarnya tidak terlalu bercita-cita tinggi kerana Turkiye mempunyai ekonomi yang kukuh.

Manakala Malaysia, walaupun bersaiz lebih kecil, berkembang dengan sangat pantas dan kini menjadi tarikan utama dalam sektor semikonduktor, pusat data kecerdasan buatan serta teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, Ankara.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar dan Erdogan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Turut dimeterai, MoU antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dengan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA).

Selain itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran Surat Setuju Terima Perolehan satu unit Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2, sebagai sebahagian pengukuhan kerjasama pertahanan dua hala.