KOTA KINABALU, 2 Ogos – Malaysia akan menjadi tuan rumah 4th World Irrigation Forum (WIF4) dan 76th International Executive Council Meeting yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 7 hingga 13 September depan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran program itu memberi peluang kepada pakar antarabangsa membincangkan isu pengairan dan kesannya terhadap perubahan iklim.
“Isu pengairan merupakan cabaran besar di seluruh dunia, terutama dengan keadaan cuaca yang tidak menentu akibat perubahan iklim. Forum ini memberi ruang kepada pihak antarabangsa berbincang secara saintifik untuk menghadapi cabaran ini, sama ada di Malaysia atau di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pra Peluncuran 4th World Irrigation Forum (WIF4) dan 76th International Executive Council Meeting di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK).
Forum yang bertemakan “Is Irrigation a Sunset Industry” akan membincangkan pendekatan serta inovasi baharu supaya sektor pengairan kekal relevan, produktif dan mampan.
Acara tersebut dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara melibatkan lebih 30 buah negara yang terdiri daripada wakil kerajaan, institusi penyelidikan, organisasi antarabangsa, sektor swasta dan komuniti tani.
Dalam program berasingan, beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM60 juta antara PPK Beluran dan Nestlin Malaysia Sdn. Bhd. bagi pembekalan sarang burung walit mentah dan sarang burung walit yang telah diproses.