Malaysia titip doa, solidariti buat Asia Barat

Rakyat berhimpun dalam satu perarakan protes susulan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei/Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 1 Mac – Malaysia menitipkan doa dan solidariti kepada semua pihak yang terkesan akibat konflik di Asia Barat, dengan harapan keamanan, keadilan dan kestabilan dapat segera dipulihkan di rantau berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menitipkan doa dan solidariti kepada semua pihak terkesan akibat konflik di Asia Barat.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan harapan agar keamanan, keadilan dan kestabilan dipulihkan segera.
  • Ketegangan meningkat selepas serangan udara melibatkan Israel dan penglibatan tentera AS, termasuk laporan kematian pemimpin Iran.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi hantaran di media sosial hari ini berkata Malaysia sentiasa mendoakan kesejahteraan umat Islam dan seluruh masyarakat yang terjejas susulan ketegangan yang memuncak di rantau itu.

“Malaysia mendoakan kesejahteraan umat Islam dan semua masyarakat yang terkesan, serta berharap agar keamanan, keadilan dan kestabilan dapat segera dipulihkan di Asia Barat,” menurut hantaran itu di Facebook.

Pada Sabtu, Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, menandakan peningkatan ketara dalam konflik tersebut.

Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa AS telah memulakan “operasi tempur besar-besaran di Iran”, sekali gus mengesahkan penglibatan langsungnya bersama Israel.

Serangan itu berlaku selepas peningkatan ketara kehadiran ketenteraan AS di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran berhubung aktiviti nuklearnya, ketika protes berskala besar masih berterusan.

Turut terbunuh dalam serangan itu Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei selepas rumahnya disasarkan.