KUANTAN, 24 Ogos - Malaysia menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap laporan yang diterima berkaitan perkembangan yang berlaku di Myanmar, justeru menggesa pihak sektretariat ASEAN untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat daripada sumber yang boleh dipercayai.
ASEAN perlu mempunyai lebih 'sense of urgency' dalam mengendalikan isu berkaitan Myanmar dan tidak hanya bergantung pada satu mesyuarat ke mesyuarat yang lain, kerana keadaannya sudah berlanjutan lama dan menjadi semakin buruk.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata jika sekali pun masih memerlukan mesyuarat perkara itu boleh dilakukan pada bila-bila masa menggunakan teknologi kerana pertemuan akan datang adalah pada November ini.
"Apa yang saya tidak puas hati ialah maklumat yang sedemikian tidak disampaikan kepada saya sebagai menteri luar dan juga teman -teman saya sebagai menteri luar negara anggota ASEAN, sebab itu semasa mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN pada 3 Ogos yang lalu saya telah meminta pihak sektretariat ASEAN mendapatkan maklumat terkini dan tepat daripada sumber yang boleh dipercayai," kata Saifuddin di sini.
Selain tidak menerima maklumat yang tepat dan terkini, beliau juga kesal dengan perkembangan tidak menggalakkan berkaitan pemberian bantuan kemanusian menerusi pasukan petugas khas yang ditubuhkan bersama Junta Myanmar.
Beliau akan menulis surat kepada sekteriat ASEAN untuk Menteri Luar Negara ASEAN membuat penilain mengenai isu sebenar yang sedang berlaku di Myanmar.
(Saifuddin elawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (sjkt) Ladang Jeram di sini)
"Saya akan menulis kepada Sekretariat ASEAN untuk menteri-menteri luar harus membuat penilaian tentang keadaan sebenar dalam Myanmar. Apa sebenarnya yang sedang berlaku dengan angka-angka tepat dan terkini harus sentiasa dikemas kini.
"Kita tidak boleh menunggu lagi satu mesyuarat dan seterusnya. Kita di ASEAN menguruskan isu ini dengan mesyuarat dan saya fikir ini tidak boleh lagi. Malaysia sedia bantu dalam hal untuk menyegerakan bantuan dan sebagainya," katanya.
Ini termasuk bilangan angka terkini dan tepat berkaitan jumlah pertempuran, orang awam yang terbunuh, jumlah pelarian dalam negeri dan jumlah mereka yang telah ditahan.
Pada masa sama Saifuddin turut meminta ASEAN menilai semula kedudukan pasukan petugas khas yang ditubuhkan bersama Junta Myanmar dalam mengendalikan bantuan kemanusiaan.