KUALA LUMPUR, 1 Jun – Malaysia memperkukuh komitmen untuk menghapuskan kanser pangkal rahim sebagai masalah kesihatan awam, menjelang tahun 2045.
Ini menerusi pelaksanaan pelbagai strategi bersepadu, termasuk vaksinasi, saringan bersasar dan kerjasama rentas sektor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan ini selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan dasar yang digariskan melalui Kertas Putih Kesihatan 2023, yang memberi penekanan terhadap promosi kesihatan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.
"Menjelang tahun 2030, Malaysia menyasarkan 90 peratus wanita menerima vaksin lengkap sebelum usia 15 tahun."
"Selain itu, 70 peratus wanita dijangka menjalani saringan menggunakan ujian berprestasi tinggi seperti ujian HPV dan DNA pada usia 35 dan sekali lagi pada usia 45 tahun."
"Akhir sekali, 90 peratus wanita yang menghidap kanser pangkal rahim akan menerima rawatan sewajarnya." katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Program Larian Kesedaran Kanser Pangkal Rahim 2025 di Taman Botani Perdana hari ini.
Jelas beliau, kanser pangkal rahim merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia, namun ia antara kanser yang boleh dicegah sepenuhnya melalui vaksinasi HPV, ujian saringan awal, dan rawatan segera kepada pesakit pra-kanser.
Mengulas dapatan semasa, beliau merujuk satu kajian oleh Dr Jamil Omar, Pakar Ginekologi Onkologi di Institut Kanser Negara (IKN), yang mendapati kadar penyertaan wanita Malaysia dalam program saringan kanser pangkal rahim masih rendah, sekitar 21 hingga 26 peratus sahaja.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah melancarkan pelan khusus menerusi "The Action Plan Towards the Elimination of Cervical Cancer in Malaysia 2021–2030", yang menyasarkan peluasan program kesedaran dan capaian kepada saringan HPV dan vaksinasi di seluruh negara.
Antara usaha yang diketengahkan termasuk sokongan terhadap Projek ROSE (Removing Obstacles to Cervical Screening), yang diperkenalkan oleh Profesor Dr. Wu Yin Ling dari Universiti Malaya.
Projek ini memperkenalkan kaedah saringan kendiri HPV DNA, yang lebih mudah dan selesa bagi wanita, terutama dari komuniti luar bandar dan kumpulan berpendapatan rendah.
Tambah Dr Dzulkefly, pelaksanaan strategi ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Malaysia menjadi negara pertama yang membawa resolusi berkaitan inisiatif bukan kesihatan ke pentas global melalui Persidangan Agung Kesihatan Sedunia ke-78 di Geneva baru-baru ini.
Beliau turut menekankan perlunya pendekatan keseluruhan negara merangkumi kerjasama kerajaan, masyarakat, NGO dan sektor swasta bagi memastikan usaha ini benar-benar memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan awam negara.
Acara KL Ladies Wellness Run 2025 yang disertai ratusan peserta hari ini disifatkan bukan sekadar simbolik kesedaran, tetapi sebahagian daripada gerakan besar untuk menjadikan Malaysia negara bebas kanser pangkal rahim menjelang 2045.