GOPENG, 1 Jun- Kerajaan Perak menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memperluaskan projek penanaman Bawang Perak secara sistematik di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata, dana tersebut adalah penting untuk membuka kawasan baharu yang memenuhi kriteria tanah subur bagi menghasilkan bawang berkualiti tinggi.
“Tiga daerah telah dikenal pasti bagi projek penanaman baharu iaitu Kuala Kangsar, Muallim, dan Perak Tengah, di mana penilaian teknikal sedang dijalankan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup FAMA Fest 2025 @ Perak di RTC Perak.
“Kita akan menyediakan kawasan baru yang memenuhi kriteria tanah subur dan memberi hasil lumayan. Ini penting kerana kita sedang menjenamakan Bawang Perak yang didapati sedap dan manis, sekaligus menarik minat pembeli", katanya demikian selepas merasmikan Majlis Penutup FAMA Fest 2025 @ Perak di RTC Perak.
Tambahnya, projek berkenaan selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menggalakkan rakyat menanam keperluan asas sendiri demi memastikan kelestarian bekalan makanan negara.
Selain peruntukan tambahan ini, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM47.68 juta kepada Perak untuk melaksanakan 28 projek pembangunan utama di bawah sektor pertanian tahun ini.
Di samping itu, sejumlah RM6.33 juta turut diluluskan di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah yang melibatkan sembilan projek di bawah Fasa 1 dan 2, dengan kerjasama kerajaan negeri.