GOPENG, 1 Jun-Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui agensinya,Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM6 juta menerusi enam siri FAMA Fest 2025 yang akan dianjurkan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, sasaran itu dibuat berdasarkan kejayaan luar jangka yang dicapai dalam penganjuran program sama tahun lalu.
“Kerajaan Negeri Perak merupakan antara tulang belakang kepada kejayaan FAMA Fest yang dianjurkan setiap tahun.
"Tahun lalu, kita menetapkan sasaran jualan RM2 juta, namun sambutan luar biasa telah membolehkan kita mencatat jualan sebanyak RM2.6 juta,” katanya.
Perak kekal sebagai penyumbang utama dalam FAMA Fest, dengan menyumbang hampir 30 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan pada 2024.
Edisi FAMA Fest tahun ini bermula di Miri, Sarawak pada April lalu, dan kini berlangsung serentak di Perak dan Johor selama lima hari.
Sebanyak 210 gerai pameran dibuka di Perak dengan sasaran jualan RM3 juta sepanjang penganjuran yang bermula pada 29 Mei.
FAMA Fest seterusnya akan diteruskan di Sabah, Selangor dan Negeri Sembilan sebagai usaha berterusan untuk memperkasa usahawan tani dari seluruh negara, selain memperluas jaringan pasaran produk tempatan.