KUALA LUMPUR, 30 Disember- Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN seterusnya membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, menerusi sokongan padu masyarakat antarabangsa Kuala Lumpur melangkah ke tahun 2025 penuh yakin untuk memacu kemakmuran bersama.
"Alhamdulillah, rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara sahabat, melonjak pelaburan dan eskport negara serta menjulang negara di persada dunia.
"Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati, menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan kita dalam memperjuangkan isu-isu global, terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang," menurut hantaran itu.
Menyorot rangkaian lawatan rasmi beliau ke luar negara serta kunjungan pemimpin dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini, ia menjana potensi pelaburan sebanyak RM115.2 bilion.
Lawatan berkenaan meliputi Jerman (RM46 bilion), Korea Selatan (RM32.8 bilion) serta Australia (RM24.5 bilion), manakala Jepun dan India; masing-masing RM1.45 bilion dan RM4.8 bilion.
Malaysia sebagai rakan strategik dihormati, menerima pengiktirafan pemimpin negara kuasa besar atas pelbagai peranan sekali gus menjulang negara ke persada dunia.
Perkara itu termasuk memperjuang isu global, terutama mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang sistem dunia yang lebih adil dan seimbang.