VIENTIANE, 10 Oktober - Malaysia meminta agar Kanada dapat memberikan kemudahan pengecualian visa secara timbal balik.
Permintaan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakan sejawatannya, Justin Trudeau pada mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, hari ini.
Dalam isu lain, Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan penubuhan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) BlackBerry di Cyberjaya, yang akan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam aspek keselamatan siber.
CCoE Malaysia yang ditubuhkan pada 26 Mac lalu berpotensi menjadi destinasi antarabangsa bagi menangani ancaman siber yang muncul.
Perdana Menteri turut berkata, Malaysia berharap memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Pertahanan antara kedua-dua negara dapat dirumuskan seawal mungkin.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula secara rasmi semalam akan berlangsung sehingga esok.
Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan menjadi Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari.