KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Malaysia meneroka destinasi eksport baharu ke Asia Tengah dan Amerika Latin sebagai usaha memitigasi trend penurunan nilai eksport negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini berdasarkan potensi eksport ke negara berkenaan yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 24.7 peratus (Asia Tengah) dan 2.3 peratus (Amerika Latin).
"Sebab itu jalan keluar kita gunakan hub negara-negara yang lebih biasa dengan suasana di situ. Umpamanya melalui Kaherah atau Riyadh atau Abu Dhabi dan Dubai. Itu strategi kita untuk mempermudahkan, kerana syarikat-syarikat yang ada di Timur Tengah itu banyak yang biasa, kenal dan arif tentang perjalanan perniagaan di situ.
"Dan saya cadangkan supaya kita dapat meningkatkan kerjasama dan nampak beberapa syarikat termasuk syarikat perladangan dan komoditi untuk menggunakan gunakan jalur di Timur Tengah", katanya dalam Persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berhubung tindakan Malaysia mempelbagai destinasi baharu pasaran eksport.
Pelbagai usaha sedang dan telah dilaksana kerajaan bagi menangani isu nilai eksport yang menurun termasuk membawa pembeli asing yang berkualiti, seterusnya dipadankan dengan syarikat-syarikat tempatan.
Selain, memperkasa agenda eksport secara e-Dagang rentas sepadan menerusi platform dalam talian seperti AliBaba, Amazon, eBay dan Halal Street.