fb fb fb fb fb

Hapus kartel ayam, jamin kestabilan harga pasaran

Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Sistem monopoli pasaran oleh kartel ayam perlu dihapuskan bagi menjamin kestabilan harga ayam dalam negara.

Perkara itu berikutan penamatan sepenuhnya subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa esok yang telah diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, subsidi itu akan diberikan dalam bentuk lain kepada rakyat kerana bekalan ayam dalam negara telah mencapai tahap sara diri.

"Itu yang menjadi masalah apabila pengeluar berpakat untuk menentukan harga jadi kita tidak mahu perkara itu berlaku sebab bekalan ayam di negara kita tidak ada masalah. Kewujudan kartel ayam ini perlu dihapuskan. Kita sudah mencapai tahap sara diri yang lebih 100 peratus.

"Itu sebab kita tarik subsidi kepada ayam. Kita ingin berikan kepada rakyat dalam bentuk lain. Pastinya ini semua adalah untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Dalam pada itu Ahmad Maslan turut mengulas berkenaan kenaikan kadar cukai Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus yang diperkenal dalam Belanjawan 2024 bukan bertujuan membebankan rakyat.

Sebaliknya pendapatan tersebut akan disalurkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada golongan sasar.

Namun Ahmad Maslan menegaskan semua rakyat perlu faham berkenaan cukai yang diperkenal oleh kerajaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI