fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk tindakan 14 negara tolak resolusi Palestin

Mohamad Hasan

NEW YORK, 27 September- Malaysia mengutuk tindakan 14 negara yang bertindak menentang resolusi dibentangkan oleh Palestin pada 18 September lalu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan tersebut sebagai amalan hipokrasi tertinggi dan tidak wajar kerana dunia sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap konflik melibatkan Palestin dan Israel ketika ini.

Amerika Syarikat, Austria, Croatia, Republik Czech, Fiji, Guatemala dan Hungary antara 14 negara yang menentang resolusi berkenaan.

"Nampaknya dunia tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku semasa perang dunia kedua. Kita banyak bercakap tentang pembunuhan beramai-ramai, kemusnahan (perang) namun ia berlaku depan mata kita pada 2024 ini.

"Ini merupakan sesuatu yang amat malang dan amat kita kesali," ujarnya.

Justeru beliau tegaskan perkara terbabit perlu diselesaikan segera kerana dunia tidak berupaya untuk terus membincangkan konflik yang telah berlanjutan selama tujuh dekad.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama 150 diaspora dan pelajar Malaysia di Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Hadir sama ialah Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Mohamad dan Konsul General Malaysia di New York, Amir Farid Abu Hasan.

SITI AISHAH MD ISA