SEOUL, 1 Oktober - Malaysia dan Korea Selatan berhasrat untuk menambah baik inti pati Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dua hala dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), menjelang November.
Perjanjian itu ditandatangani kedua-dua pihak pada 2019.
Perkara berkenaan dibangkitkan dalam pertemuan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan Menteri Sains dan ICT Republik Korea, Yoo Sang-im.
Pertemuan itu berlangsung bersempena persidangan GSMA M360 APAC 2024 di sini, hari ini.
Fahmi berkata, aspek penambahbaikan dicadangkan termasuk melibatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini semakin meluas digunakan dalam pelbagai bidang, sejajar dengan perkembangan era digital.
Ini merupakan pertemuan pertama Fahmi dengan Yoo yang baru dilantik sebagai menteri pada Julai lepas.
Fahmi kini dalam lawatan kerja ke Korea Selatan selama tiga hari bermula semalam.
Beliau dijadual menyampaikan ucaptama pada persidangan GSMA M360 APAC 2024 menerusi sesi Building the AI-Enabled Digital Backbone.
GSMA ialah sebuah organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia dalam ekosistem mudah alih dan industri berkaitan. - BERNAMA