fb fb fb fb fb

Malaysia komited jalin kerjasama dengan firma Jerman, Eropah - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama di pentas ‘SME Future Day 2024’

BERLIN, 14 Mac- Malaysia mempelawa firma Jerman serta perniagaan di serata Eropah mengambil bahagian, melabur dan menjalin kerjasama dengan Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucaptama di pentas ‘SME Future Day 2024’ berkata Malaysia merupakan sebuah negara dinamik, strategik dan pesat berkembang.

"Jarang terdapat rantau yang bekerjasama sebagai satu kumpulan dalam ASEAN. Jarang ditemui rantau yang aman, dengan ekonomi yang paling cergas dan pesat membangun di dunia."

"Jadi, saya mengambil peluang ini untuk memperkenalkan negara (Malaysia), tentang dasar-dasarnya dan pada masa sama menggalakkan anda melihat dan gunakan peluang untuk syarikat PKS anda dalam pembangunan ekonomi Malaysia," kata Anwar dalam ucaptamanya.

Acara SME Future Day 2024 (Mittelstand) khusus untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berlangsung sehari di Berlin.

Acara yang mebghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan, dianjurkan Persatuan PKS Jerman (BVMW).

Acara turut disertai wakil kerajaan dan tokoh korporat terkemuka negara itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menekankan, kelebihan Malaysia sebagai pintu masuk strategik untuk Jerman ke pasaran ASEAN lebih besar.

Malah, Asean dijangka muncul sebagai ekonomi ketiga terbesar dunia menjelang 2030.

Tambah Datuk Seri Anwar, rantau ini turut menyediakan peluang bagi pertumbuhan yang eksponen.

Sejak sedekad lepas, Jerman kekal sebagai rakan dagang utama Malaysia di Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia merupakan rakan dagang terbesar negara itu di Asia Tenggara.

Perdagangan dua hala telah melonjak sebegitu ketara pada purata tahunan sebanyak 5.2 peratus manakala Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi pelaburan langsung asing (FDI) dengan syarikat Jerman melabur sebanyak 8.5 bilion euro pada 2023.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengetengahkan manfaat yang boleh diraih pelabur asing daripada pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan bagi memudah cara menjalankan perniagaan.

Selain itu, membina keyakinan terhadap sistem Malaysia sekali gus dapat memastikan kestabilan jangka panjang di negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM