fb fb fb fb fb

Malaysia komited bantu pembangunan Timor-Leste

Anwar Ibrahim diberi penghormatan menyampaikan ucapan bersejarah di Parlimen Timor-Leste pada hari kedua lawatan rasmi beliau hari ini/Foto Facebook Anwar Ibrahim

DILI, 24 SEPTEMBER- Malaysia komited membantu Timor-Leste dalam membangunkan sektor ekonomi dan pelaburan serantau, khususnya melibatkan infrastruktur, pembangunan kapasiti dan pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat Malaysia dan sektor swasta digalakkan melabur di negara itu dengan tumpuan kepada pembangunan kapasiti, latihan, perkongsian ilmu serta keuntungan yang tidak menjejaskan kebajikan rakyat tempatan.

"Saya menyeru sektor swasta Malaysia, termasuk syarikat seperti Petronas, untuk datang dan bekerjasama, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi. Namun, saya mengingatkan agar tidak mengambil pendekatan seperti sesetengah syarikat multinasional yang mengeksploitasi buruh murah dan mengaut keuntungan maksimum.

"Kita tidak mahu perkara itu berlaku kepada rakan kita, sama ada di Timor-Leste atau negara lain," katanya ketika menyampaikan ucapan di Parlimen Timor-Leste pada hari kedua lawatan rasmi beliau hari ini.

Beliau menegaskan ASEAN menitikberatkan prinsip keterangkuman dan kemampanan termasuk inisiatif digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga bagi memastikan rakyat seluruh rantau dilindungi daripada jurang digital dan ekonomi.

Selain itu, Anwar menyeru Timor-Leste menegakkan prinsip demokrasi melalui tadbir urus baik serta memastikan negara bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi mengekalkan penghormatan di peringkat antarabangsa.

"Kita harus memastikan tadbir urus yang baik, membersihkan negara daripada rasuah serta penyalahgunaan kuasa, dan benar-benar mewakili aspirasi rakyat di Timor-Leste.

"Secara konsisten juga, kita mesti menjunjung maruah lelaki dan wanita di seluruh dunia. Suara rakyat akan menjadi suara teguh dan saya pasti ia dihormati," katanya.

SITI AISHAH BINTI MD ISA