
PUTRAJAYA, 8 Februari – Sektor pelancongan dan kesalinghubungan dikenal pasti antara bidang utama yang perlu diteroka oleh Malaysia dan India susulan peningkatan ketara perjalanan antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
- Pelancongan dan kesalinghubungan dikenalpasti sebagai bidang utama untuk diperkukuh antara Malaysia dan India.
- Usaha peningkatan sambungan udara disokong untuk menyokong pertumbuhan pelancongan dua hala.
- Manfaatkan inisiatif Malaysia Truly Asia, Incredible India dan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk tarik pelancong.
Beliau berkata kerjasama dalam sektor pelancongan wajar dipertingkatkan pada masa hadapan, termasuk melalui penambahan kesalinghubungan udara bagi menyokong pertumbuhan pelancongan dua hala.
“Pelancongan dan kesalinghubungan sememangnya merupakan bidang yang kami beri penekanan kerana kami telah menyaksikan peningkatan yang luar biasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kami berharap dapat mengambil manfaat daripada inisiatif Malaysia Truly Asia dan Incredible India untuk meningkatkan kesalinghubungan udara,” katanya.
Beliau berkata India memiliki keunikan tersendiri sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan sejarah, budaya dan seni, selain kemajuan pesat dalam bidang teknologi, sekali gus menawarkan potensi besar untuk diterokai pelancong Malaysia.
Beliau berharap usaha memperkasa sektor pelancongan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal dilancarkan.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama Malaysia–India yang diadakan di Kompleks Seri Perdana, di sini, hari ini.