SINGAPURA, 4 Disember - Malaysia dan Singapura menyatakan semula pendirian tegas mereka dalam membanteras pengedaran dadah, dengan kedua-dua negara komited memperkukuh kerjasama bagi menangani ancaman narkotik di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Malaysia sentiasa menghormati proses perundangan dan keutuhan kehakiman negara lain, termasuk Singapura, apabila rakyat Malaysia berdepan tindakan undang-undang berkaitan dadah di luar negara.
"Kami secara tradisinya telah mengambil pendirian yang sangat tegas, walaupun negara telah meminda undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori.
"Namun, jika kes itu dibawa ke mahkamah, proses perundangan akan dijalankan dengan penuh keprihatinan oleh pihak kerajaan kerana kesannya boleh membebankan ramai pihak," katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong selepas menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menegaskan polisi antidadah Singapura bertujuan memastikan persekitaran selamat.
"Kami berharap semua negara memahami rasional di sebalik pendirian tegas kami dan menghormati cara kami melaksanakan polisi ini," jelasnya.
Komitmen Malaysia dan Singapura untuk bekerjasama menentang ancaman dadah ini, selaras usaha memastikan keselamatan rakyat dan keluarga di kedua-dua negara.
