fb fb fb fb fb

Malaysia gesa NAM pertahan pendirian berprinsip berkait isu Palestin

(Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri NAM Mengenai Palestin
di Baku, Azerbaijan pada Rabu/ FB Wisma Putra)

PUTRAJAYA, 6 Julai- Malaysia menggesa semua negara anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk terus bersatu dalam mempertahankan pendirian berprinsip NAM berkaitan Palestin, serta mengecam kekejaman dan dasar aparteid rejim Israel.  

Menurut kenyataan Kementerian Luar, isu itu disuarakan menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Menteri NAM Mengenai Palestin yang diadakan di Baku, Azerbaijan pada Rabu.

“Malaysia turut menzahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di Palestin, sehingga menyebabkan kehilangan nyawa orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak serta kemusnahan bangunan dan infrastruktur secara berterusan.

“Ia juga mengecam jumlah peningkatan penempatan haram di Palestin dan tindakan rejim Israel yang memperlekehkan undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang kemanusiaan serta hak asasi manusia,” menurut kenyataan itu.


(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir)

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Azerbaijan dan disertai oleh 15 negara anggota NAM yang merupakan  anggota Jawatankuasa NAM Mengenai Palestin.

Kenyataan itu turut menyebut, Malaysia mengesali insiden terkini di Jenin yang melibatkan pembunuhan rakyat awam Palestin oleh rejim Israel.

Selain itu, ia turut mengkritik sikap pilih kasih negara-negara Barat yang kerap mengecam konflik di negara-negara lain tetapi melindungi rejim Israel daripada bertanggungjawab ke atas tindakan penindasan terhadap warga Palestin.

Jelasnya, pendirian Malaysia masih kekal sama iaitu memperakui hak Palestin dan rakyatnya untuk memiliki negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat sama seperti negara merdeka yang lain di dunia.

Media Baharu