fb fb fb fb fb

Kerajaan keluar garis panduan pengendalian surat sokongan oleh anggota pentadbiran

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Kerajaan memandang serius berhubung isu pengeluaran surat sokongan yang mempunyai unsur rasuah dan salah guna kuasa sehingga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan.

Oleh itu, satu Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan akan dikeluarkan bagi memastikan surat sokongan tidak disalahgunakan bagi tujuan kepentingan peribadi.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, "perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bilangan 1 Tahun 2023 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim."

Mesyuarat itu turut membincangkan status pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta hala tuju pemerkasaan inisiatif-inisiatif antirasuah selaras dengan Perkara 5 dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

Mesyuarat turut bersetuju supaya Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentangkan secara berkala di Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tindakan susulan yang segera bermula dengan LKAN 2022 menggunakan format baharu lebih berstruktur supaya setiap isu dilaporkan dapat diambil tindakan lebih berkesan.

Kerajaan juga akan meneruskan momentum pelaksanaan Mesyuarat JKKMAR berdasarkan komitmen untuk memperkukuhkan tata kelola dan membanteras rasuah.

Mesyuarat berkenaan yang memberi fokus kepada syor penambahbaikan tata kelola yang lebih holistik juga bersetuju supaya pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dikuatkuasakan dengan format baharu yang lebih komprehensif dan ditambah baik bagi pelaporan pengisytiharan harta.

(Foto hiasan)

Media Baharu