fb fb fb fb fb

Malaysia diyakini kembali jadi pengeluar getah nombor 1 dunia

FOTO HIASAN

BANGI, 23 Januari- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sasar negara ini untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia.

Beliau berkata, matlamat tersebut mampu dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya usaha penanaman semula serta inovasi dalam industri getah dapat diperkembang secara sistematik dan berkesan.

"Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah dan Pengerusi, saya fikir dalam tempoh 10 tahun kita sudah boleh melakukannya oleh kerana kita ada 800,000 hektar, 400,000 hektar perlu ditanam semula.

"Jadi penanaman semula itu mesti menggunakan baka yang baik, dan kaedah automasi bagi penorehan, kaedah pengumpulan dan juga memperbanyakkan depo untuk ‘latex’ dan ini kita boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA 2025 di Bangi, Selangor.

Seramai 1,000 orang pegawai lapangan dari seluruh negara hadir bagi memperkasa pelaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan kepada warga pekebun kecil getah di bawah seliaan RISDA.

Sementara itu, Zahid memaklumkan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) boleh dijadikan sebagai salah satu medium dalam meningkatkan produktiviti getah negara.

Beliau berkata, pengaplikasian teknologi canggih juga mampu membangun pekebun kecil sekali gus mendedahkan produk mereka kepada pasaran global.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penguasaan Internet Kebendaan (IoT) juga memberi ruang dan peluang lebih meluas dalam memperkembang sektor getah negara.

Dalam pada itu, cadangan menjadikan RISDA sebagai pembeli tunggal getah pekebun kecil akan dibentang.

Jelas Zahid, langkah tersebut bagi membela nasib pekebun kecil yang bergantung kepada harga lantai setiap tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE