fb fb fb fb fb

Fasa pertama Bantuan One Off Perdana Menteri di Kelantan libat 1,300 penerima

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin

KOTA BHARU, 23 Januari - Kota Bharu menjadi lokasi terakhir Program Bantuan One Off Perdana Menteri di Kelantan bagi fasa pertama hari ini.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata, dalam sesi jelajah hari ini pihaknya bermula di Tanah Merah, Pasir Mas, Rantau Panjang, Tumpat sebelum berakhir di Kota Bharu.

Beliau berkata, di Kelantan seramai 1,300 penerima bantuan untuk fasa pertama dan Tanah Merah menjadi parlimen tertinggi iaitu seramai 500 penerima.

Katanya, antara penerima yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf, ibu tunggal dan golongan B40.

Menurutnya, setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 yang diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Lokasi terakhir saya di Kota Bharu yang mana di sini, juga kita menyantuni rakyat Kota Bharu seramai 200 orang tadi pagi bermula di Tanah Merah 500 orang dan Pasir Mas dan Rantau Panjang 400 orang dan kemudian di Tumpat, jadi lima parlimen dapat saya santuni untuk Program Jelajah MADANI.

"Insha-Allah fasa kedua saya akan turun lagi sekali ke Kelantan dan bukan saja Kelantan sebenarnya di negeri-negeri lain untuk Program Jelajah MADANI ini yang mana saya mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni semua rakyat di seluruh negara itu adalah program yang Perdana Menteri mohon supaya kita kerajaan dapat, beliau mewakilkan kami untuk menyantuni rakyat rakyat di negeri-negeri seluruh negara," kata Azman.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas Program Bantuan One Off Perdana Menteri di Kelab Suara Muda, di sini.

Jelasnya, program tersebut hasrat daripada Perdana Menteri namun disebabkan kesibukkannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakilkan kepada pegawainya untuk turun ke lapangan bagi menyantuni rakyat di seluruh negara.

TETITIA YUSOFF