
KUCHING, 13 Mac- Sumbangan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meredakan konflik di Asia Barat, mampu memberi impak besar kepada kestabilan politik dan ekonomi dunia.
- Kestabilan politik Malaysia dikagumi oleh negara-negara Islam lain.
- Malaysia menikmati limpahan ekonomi yang kian berkembang.
- Premier dan Perdana Menteri hadir Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Jamek, dihadiri kira-kira 1,000 tetamu, serta menyertai jemaah solat maghrib.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Datuk Seri Anwar memainkan peranan dengan berhubung pemimpin-pemimpin negara Islam bagi mencari penyelesaian konflik.
Beliau berkata, keupayaan Perdana Menteri melaksanakan peranan itu turut disokong kestabilan politik serta perpaduan rakyat dalam negara.
“Negara kita sendiri bersatu padu. Kalau negara kita kucar kacir mungkin Perdana Menteri menumpukan dalam negara dan tidak dapat membantu masyarakat kita di luar sana.
“Alhamdulillah negara kita aman, ekonomi baik ,duit kita melonjak dan pelaburan masuk,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 peringkat Sarawak di Masjid Jamek Sarawak, Kuching.
Majlis berbuka puasa itu dihadiri sekitar 1,000 tetamu melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Dalam perkembangan lain, situasi Malaysia yang aman, ekonomi semakin baik, peningkatan nilai mata wang serta kemasukan pelaburan asing membolehkan rakyat termasuk di Sarawak sama-sama terima manfaat.
Semakin ramai duta dan pelabur luar datang ke negeri ini untuk meneroka peluang pelaburan.