
KUALA LUMPUR, 22 Januari– Malaysia mengecam keras serangan rejim Israel di Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam tidak berdosa termasuk kanak-kanak dan wartawan.
- Malaysia mengecam serangan Israel di Gaza sebagai pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan dan hak asasi antarabangsa.
- Wisma Putra menyeru semua pihak bertanggungjawab mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghentikan serangan terhadap orang awam.
- Malaysia menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967.
Wisma Putra menerusi kenyataan menegaskan serangan tersebut merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
“Ini juga satu pencabulan yang jelas terhadap perjanjian gencatan senjata yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai sebahagian daripada Pelan Dama 20 Perkara pada 29 September 2025.”
“Malaysia menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik agar bertangungjawab mematuhi undang-undang antarabangsa,” tegas kenyataan itu.
Selain itu, Wisma Putra turut menyatakan serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam serta menjejaskan keselamatan dan akses kepada perkhidmatan asas tidak boleh diterima sama sekali sekali gus membantutkan usaha ke arah meredakan ketegangan demi mencapai keamanan dan kestabilan.
Malaysia terus menzahirkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi mutlak rakyat Palestin termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
“Malaysia terus menyeru agar penindasan, kekejaman dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin dihentikan serta-merta dan semua pihak terlibat kembali komited mencapai penyelesaian adil dan keamanan berkekalan di Palestin,” menurut kenyatan sama.