fb fb fb fb fb

Malaysia, AS akan terus pererat kerjasama untuk kemakmuran ekonomi dan keselamatan - PM

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan ketika hadir pada majlis makan tengah hari
bersama Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi/ Foto BERNAMA)
 

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui Washington dilihat rakan kongsi Kuala Lumpur yang penting dalam semua bidang termasuk ketika pandemik COVID-19.

Beliau berkata Amerika Syarikat (AS) banyak membantu Malaysia ketika mengalami kesukaran dengan menyumbangkan vaksin untuk kegunaan rakyat.

"Dalam bidang ekonomi, dari segi pelaburan, AS merupakan pelabur terbesar dalam negara kita dan dagangan AS jatuh pada (kedudukan) 3, 4 dari segi dagangan, dari segi hubungan pertahanan AS-Malaysia, AS banyak bantu kita sepanjang tahun sehingga 2022, 'assistance' (bantuan) nya tentang 'defence' (pertahanan) melebihi AS$200 juta, begitu juga dari segi pandemik waktu kita mengalami kesukaran pandemik COVID-19, AS banyak bantu kita sebagai contoh beri kita secara percuma bantuan vaksin Pfizer sebanyak 1 juta," kata beliau ketika berucap pada majlis makan tengah hari meraikan lawatan rasmi Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Malaysia, di sini hari ini.

Ia merupakan lawatan sulung Pelosi ke Kuala Lumpur.

 
(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir pada majlis makan tengah hari bersama Speaker Dewan
Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi)

Ismail Sabri memaklumkan hubungan antara Amerika Syarikat dan negara ASEAN semakin akrab selepas berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat, di Washington Mei lalu.

Pelosi juga menyatakan hubungan diplomatik lebih enam dekad antara kedua negara menjadikannya lebih istimewa dan bernilai.

“Malaysia sangat penting. Kami telah menjalin hubungan lebih 60 tahun antara AS dan Malaysia. Kami menghargai hubungan itu," katanya. 

Pada April 2014, hubungan diplomatik Washington dan Kuala Lumpur dinaik taraf kepada Perkongsian Komprehensif.

Media Baharu