fb fb fb fb fb

Majlis Ekonomi Biru Perak perkasa, selaras inisiatif optimum negeri

Foto hiasan

LUMUT, 23 Februari- Majlis Ekonomi Biru Perak akan ditubuhkan bagi memperkasa dan menyelaras semua inisiatif sektor tersebut dengan optimum di peringkat negeri.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu termasuk usaha pemuliharaan ekosistem marin dan biodiversiti serta pengukuhan pelancongan maritim.

Majlis itu akan dipengerusikan Menteri Besar Perak dan dianggotai Exco Kerajaan Negeri, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) serta pihak berkepentingan lain.

"Majlis Ekonomi Biru ini kita akan tubuhkan secara rasmi melalui Exco Kerajaan Negeri supaya ia dapat mengadakan mesyuarat.

"Semua perkara berkaitan ekonomi biru akan diputuskan pada mesyuarat itu. Kita tidak mahu ia memiliki satu hala tuju sahaja, malah ia akan meliputi hala tuju jelas. Majlis berkenaan juga akan mengawal perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Ekonomi Biru Negeri Perak di sini.

Sementara itu sektor perikanan di Perak menjadi pemacu ekonomi biru negeri dengan menyumbang 22.8 peratus pengeluaran perikanan negara dengan jumlah mencecah 407,000 tan metrik pada tahun 2023.

Manakala hasil pendaratan ikan laut pula mencecah RM2.53 billion.

Sektor lain yang turut diberi tumpuan dalam pelan itu termasuk penerokaan tenaga boleh baharu dan penyelidikan bioteknologi marin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI