KUALA LUMPUR, 23 Februari- Seramai 500 bakal usahawan muda akan dilatih melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) tahun ini.
Setiap peserta menerima geran permulaan perniagaan sehingga RM15,000.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata sejumlah RM12 juta telah diperuntukkan bagi meneruskan komitmen SME Corp.
Jelas beliau, program itu bertujuan melahirkan belia Bumiputera mencipta pekerjaan melalui aktiviti keusahawanan.
Ini sekali gus mengurangkan kadar pengangguran belia.
Program tersebut akan bermula di Sabah sebelum diteruskan ke zon utara, Pantai Timur, Tengah, Selatan dan Sarawak bermula Mei depan.
Modul latihan tahun ini turut merangkumi kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan kelestarian bagi memperkasa usahawan menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Sejak 2014, TUBE telah melatih lebih 8,000 usahawan muda, mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan dan menjana nilai jualan terkumpul sebanyak RM194 juta.