fb fb fb fb fb

Jangan aniaya peluang kerjaya pekerja tempatan susulan pelaksanaan RTK 2.0 - PM

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Majikan diingatkan agar tidak menganiaya peluang kerjaya pekerja tempatan susulan kelonggaran pengambilan pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

Tegas Perdana Menteri, RTK 2.0 terpaksa dilaksana bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja yang mendesak dalam beberapa sektor terutama perladangan dan perkhidmatan. Pengambilan pekerja asing yang ramai melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sebelum ini merupakan langkah segera kerajaan bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja yang mendesak dalam sektor tersebut.

Beliau berkata, usaha itu tidak boleh dipandang sebagai tindakan bagi menghabat peluang anak tempatan mendapatkan peluang pekerjaan.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Kelonggaran itu juga jelasnya bukan bersifat tetap dan terpaksa dilakukan untuk mengelakkan sektor industri negara terus mengalami kerugian.

"Pengambilan pekerja asing terlalu ramai itu hanya sementara, tidak ada negara yang wajar pertahankan dasar ini. Apatah lagi ia akan mengekalkan kita dalam yang disebut 'middle income trap'. Makna kita akan kekal di tahap bawah dan rendah kerana kerajaan mungkin tidak menyediakan inisiatif yang cukup atau majikan selesa dengan kaedah yang lama. Jadi harus ada perundingan yang lebih rapat dengan kementerian-kementerian yang berkaitan dan kita cuba bawa perubahan ini," katanya.

Tambahnya, perlu ada usaha lain melibatkan kerjasama pihak kerajaan dan majikan dalam mewujudkan peluang pekerjaan yang bersesuaian untuk pekerja tempatan dengan gaji yang lebih tinggi.

Beliau berucap ketika melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MyFuture Jobs 2023 di ibu negara.

Mengulas mengenai pengenalan skim tersebut, beliau berkata, pelaksanaannya perlu disokong semua pihak dalam mengiktiraf dan menghargai peranan suri rumah.

"Sebab itu pandangan kita harus berubah, dan kalau kita iktiraf dia sebagai tonggak dalam keluarga selain dari suami atau bapa maka semua agensi dan kerajaan harus beri pengiktirafan. Maka skim-skim ini diperkenalkan termasuk pencaruman yang harus disokong," katanya.

Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini dan keempat di dunia yang memperkenalkan sistem perlindungan sosial kepada suri rumah.

Media Baharu