PUTRAJAYA, 30 Ogos - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membelanjakan sebanyak RM2.681 juta sebulan melalui Skim Bantuan Zakat Perubatan - Bantuan Dialisis bagi membantu 715 pesakit asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan turut menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pesakit berulang-alik ke pusat hemodialisis.
Katanya, ini membuktikan komitmen MAIWP memperluas akses kepada rawatan perubatan yang baik dan berkualiti, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
"MAIWP juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan, di mana van akan mengambil pesakit dari tempat tinggal mereka, seperti di Presint 8, untuk dibawa ke pusat hemodialisis.
Sepanjang empat jam mereka di pusat ini, kudapan dan minuman turut disediakan untuk memastikan mereka dijaga dengan baik. Harapannya ialah kita dapat menjaga kesihatan mereka dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Hemodialisis MAIWP - PICOMS Cawangan Putrajaya dan Labuan.
Ia merupakan hasil kerjasama strategik antara MAIWP dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), yang dahulunya dikenali sebagai PICOMS.
Penubuhan pusat hemodialisis ini telah diusahakan sejak tahun 2012, dan kini terdapat lima cawangan di Wilayah Persekutuan, termasuk tiga cawangan di Kuala Lumpur.