KUALA PERLIS, 29 Mac-Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan berjumlah RM6.667 juta daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada semua sekolah agama yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
32 sekolah terlibat adalah terdiri daripada Maahad Tahfiz, sekolah menengah dan rendah Agama Islam serta pondok di seluruh Negeri Perlis.
Sumbangan tahunan ini merupakan komitmen MAIPs yang berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan Islam, selaras dengan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Perlis yang menjadi dasar pengiktirafan dan pemantauan sekolah-sekolah agama berdaftar di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor memaklumkan, sumbangan ini adalah bukti kesungguhan MAIPs untuk memastikan sekolah-sekolah agama di Perlis terus kukuh dari segi pentadbiran, sumber manusia dan pengisian pendidikan.
“Dana ini bukan hanya untuk menyokong pengurusan dan kebajikan warga sekolah, malah juga bertujuan memperkasakan lagi usaha memperluas aktiviti dakwah, pengajaran al-Quran dan pembangunan sahsiah murid, serta guru secara menyeluruh.
“MAIPs menekankan kepentingan sistem sokongan pendidikan Islam yang tersusun dan berdaya saing, dan kami percaya sumbangan ini akan menjadi pemangkin kepada kelestarian institusi-institusi ini sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan arus perdana,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MAIPs sentiasa terbuka kepada penambahbaikan berterusan melalui kerjasama erat bersama JAIPs dan pihak sekolah bagi memastikan keberkesanan penggunaan dana yang disalurkan demi manfaat jangka panjang ummah.
Sumbangan besar itu sekali gus membuktikan peranan MAIPs bukan sahaja sebagai penyumbang bantuan zakat dan wakaf kepada golongan asnaf, tetapi turut menjadi pelindung serta pendokong utama kepada pendidikan Islam negeri Perlis.
Majlis penyerahan dilaksanakan sempena keberangkatan baginda ke Masjid Ar-Rahim, Titi Tok Bandar, bersempena lawatan Ramadan dan program menyantuni komuniti setempat.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Penyerahan sumbangan disampaikan kepada Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin, sebagai wakil kepada semua sekolah Islam yang terlibat di seluruh negeri Perlis.