ALOR SETAR, 29 Mac - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah perkenan berangkat ke Majlis Sah Khatam Al-Quran Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2025M/1446H, di
di Masjid Zahir, Alor Setar, malam tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.
Baginda dan Kerabat Diraja Kedah kemudian menunaikan solat Isyak dan tarawih bersama para Jemaah yang hadir, disusuli dengan Majlis Sah Khatam Al-Quran.
Program bertujuan mengukuhkan semangat kecintaan terhadap Al-Quran serta memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan membaca dan memahami kitab suci itu.
Majlis Sah Khatam Al-Quran itu diharap akan terus menyuburkan semangat penghayatan Al-Quran dalam kalangan masyarakat serta menjadi platform dalam memperkukuhkan jati diri Islam dalam kehidupan seharian.