(FOTO MEDIA ISTANA ARAU)
KANGAR, 12 April- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM505,000 bagi tujuan pengurusan di 101 buah masjid seluruh Perlis sepanjang tahun ini.
Melalui peruntukan yang disalurkan berkenaan, pengurusan masjid hendaklah berusaha memastikan aktiviti dan program yang dilaksanakan relevan dan berimpak kepada masyarakat.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai kumpulan bertanggungjawab di peringkat kariah, jawatankuasa masjid diberi mandat melaksanakan pelbagai aktiviti pengimarahan, ilmiah dan kemasyarakatan.
"Setiap aktiviti yang dilaksanakan seharusnya selari dengan dasar dan peraturan yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.
"Usaha menerapkan ketakwaan di kalangan umat Islam adalah sebahagian daripada tanggungjawab yang dipikul jawatankuasa kariah masjid sepertimana termaktub dalam Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perlis 1990,"titah Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda bertitah pada simbolik penyerahan sumbangan kepada masjid seluruh Perlis sempena Program Qiam Ramadan di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Kangar.
(FOTO MEDIA ISTANA ARAU)