
BAGAN SERAI, 2 Mac – Pembedahan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sebelum ini tertangguh akibat kekangan kewangan, kini dapat diteruskan selepas keluarganya menerima bantuan pembiayaan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Darul Ridzuan (MAIPk).
- MAIPk menanggung kos pembedahan kaki kanak-kanak tiga tahun melalui bantuan perubatan dana zakat.
- JKM memberi bantuan segera dan sokongan bulanan RM500 untuk meringankan beban keluarga.
- Pembedahan yang sebelumnya ditangguhkan boleh dipercepat selepas jaminan bayaran daripada Baitulmal.
Muhammad Mikail Rafanza Mohd Rizal dijadual menjalani pembedahan memasukkan plat besi pada lutut bagi membetulkan masalah pertumbuhan kakinya.
Sejak lahir, Mikail berdepan pelbagai komplikasi kesihatan termasuk dilahirkan tanpa lubang dubur, jantung berlubang, tulang belakang bengkok serta hanya mempunyai satu buah pinggang.
Pada tahun 2022, anak bongsu daripada empat beradik itu menjalani pembedahan membina saluran najis dan kini masih memerlukan rawatan susulan beberapa kali seminggu di Hospital Taiping dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Ibunya, Siti Fatimah Sani, 40, yang bekerja sebagai operator pengeluaran berkata, kos rawatan serta susu khas mencecah lebih RM1,000 sebulan, tidak termasuk perbelanjaan ulang-alik ke hospital.
Pembedahan kaki yang dijadualkan pada 10 Mac itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana keluarga berkenaan tidak mampu menyediakan kos hampir RM6,000.
Siti Fatimah berharap anaknya dapat menjalani pembedahan dengan lancar.
“Doa saya semoga anak cepat sembuh. Itulah harapan saya walaupun setiap kali pembedahan dia berdepan masalah paru-paru dan keadaannya agak teruk,” katanya.
MAIPk memberi jaminan akan menanggung kos pembedahan berkenaan menerusi bantuan perubatan daripada dana zakat.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan segera serta sokongan bulanan sebanyak RM500 bagi meringankan beban keluarga terbabit.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, pihak hospital kini boleh mempercepatkan prosedur pembedahan memandangkan jaminan bayaran telah diberikan melalui Baitulmal.
“Terserah kepada pihak hospital untuk mempercepatkan proses kerana dari segi bayaran sudah ada jaminan daripada pihak Baitulmal untuk menyelesaikan kos pembedahan tersebut,” jelasnya.
