KUALA LUMPUR, 14 Mei- Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk mendapatkan kebenaran meneruskan rayuannya terhadap penolakan Mahkamah Rayuan berkenaan tuntutan RM10 juta yang difailkannya terhadap veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang.
Tiga panel iaitu Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan serta Datuk Abu Bakar Jais memutuskan bahawa ia bukan kes yang wajar untuk mahkamah memberikan kebenaran.
Tengku Maimun berkata, Mahkamah Tinggi telah memutuskan mengikut penilaiannya terhadap bukti dan prinsip undang-undang yang ada dan Mahkamah Rayuan telah mengesahkan keputusan itu.
Beliau berkata lima persoalan undang-undang yang dicadangkan oleh peguam Mohamed Apandi bukanlah sesuatu yang baharu yang patut dihujahkan di Mahkamah Persekutuan dan mengarahkan Mohamed Apandi membayar kos RM30,000.
Berikutan kegagalan Mohamed Apandi untuk mendapatkan kebenaran, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 November tahun lalu yang memihak kepada Lim, kekal.
Mohamed Apandi, 74, memfailkan permohonan kebenaran merayu pada 1 Dis tahun lalu selepas dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Samannya terhadap veteran DAP itu adalah berhubung artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (IMDB) yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 23 Mei 2022.
Dalam samannya yang difailkan pada 2019, Mohamed Apandi mendakwa bahawa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan terbitnya artikel bertajuk "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity" dalam Malaysiakini.
Beliau mendakwa kononnya kata-kata fitnah dalam artikel itu membayangkan bahawa dia terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, adalah seorang yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika dan telah menyalahgunakan kuasa ketika menjadi Peguam Negara.
Mohamed Apandi, yang menjadi Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, berhujah bahawa perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan ditulis dengan niat untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia untuk publisiti murahan.
Dia menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta RM10 juta sebagai ganti rugi am, injunksi untuk menghalang Lim dan/atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan yang didakwa berunsur fitnah itu dan pampasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar (kini hakim Mahkamah Rayuan), dalam menolak saman Mohamed Apandi, memutuskan bahawa Lim berjaya mewajarkan keistimewaan yang dia layak apabila membuat kenyataan tersebut kerana skandal 1MDB melibatkan jenayah, pelanggaran undang-undang, kesan sosial dan ekonomi kepada ekonomi negara termasuk juga terhadap akhlak pemimpin dan agensi tertinggi negara.
Mohamed Apandi diwakili peguam Liew Teck Huat, Rueben Mathiavaranam, M.Visvanathan dan V.Sanjay Nathan manakala Sangeet Kaur Deo, Harshaan Zamani dan Simranjit Kaur mewakili Lim.- BERNAMA