
KUALA LUMPUR, 27 Februari – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengenakan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) berjumlah RM9.1 juta terhadap kontraktor projek aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
- MAHB mengenakan LAD RM9.1 juta ke atas kontraktor projek aerotrain KLIA kerana kelewatan penyiapan.
- LAD dikenakan selama 91 hari, kadar RM100,000 sehari dari 1 April hingga 30 Jun 2025.
- Penilai bebas sahkan aerotrain beroperasi seperti dirancang dan gangguan awal tidak jejaskan keselamatan.
Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat pada Khamis memaklumkan, penalti itu dikenakan terhadap ALSTOM IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech Joint Venture) susulan kegagalan menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual.
Menurut kementerian, LAD tersebut dikenakan selama 91 hari bermula 1 April 2025 hingga 30 Jun 2025.
“Seperti termaktub dalam kontrak, jumlah LAD dikenakan adalah sebanyak RM100,000 sehari atau jumlah keseluruhan sebanyak RM9.1 juta,” menurut kenyataan itu.
Jawapan berkenaan diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai jumlah nilai LAD atau penalti yang dikenakan MAHB terhadap kontraktor Alstom IJM-Pestech Joint Venture berhubung kelewatan penyiapan projek aerotrain baharu KLIA.
Terdahulu, MAHB memaklumkan penilai kereta api bebas mengesahkan sistem aerotrain KLIA beroperasi seperti dirancang.
Menurut MAHB, gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak ia beroperasi adalah lazim pada fasa awal sistem kereta api yang kompleks.
Penilai tersebut turut mendapati gangguan berkenaan tidak menimbulkan risiko keselamatan kerana kawalan kejuruteraan berstruktur serta pemantauan berterusan dilaksanakan bagi mengurus isu yang timbul secara berkesan.