GOPENG, 22 Jun- Cadangan untuk memperluas penganjuran Festival Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA Fest) ke seluruh negara akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Chan Foong Hin berkata perbincangan itu akan melibatkan beberapa agensi berkaitan.
Jelasnya, sebanyak RM17 juta nilai jualan telah dicatat sejak pertama kali FAMA Fest dianjurkan pada 2017.
"Biasanya agensi akan membawa perancangan kepada kita dan kita akan bantu mengkoordinasikan antara agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan untuk sama-sama kita jayakan.
Namun, ini terpulang kepada FAMA berhubung tindakan yang perlu dilakukan serta ia bergantung kepada kemampuan dan kapasiti sedia ada," kata Foong Hin kepada pemberita selepas merasmikan Perak FAMA Fest 2023 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, Gopeng.
Tambahnya, sebanyak lima siri penganjuran disasar tahun ini iaitu di Sarawak, Perak, Johor, Pulau Pinang dan Terengganu.
Seramai 103 usahawan terlibat dengan FAMA menyasarkan sebanyak RM2 juta nilai jualan dicapai sepanjang lima hari penganjuran program.
(Foto FB FAMA Perak)