fb fb fb fb fb

Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 sasar 300,000 pengunjung nilai jualan sebanyak RM3.5 juta

KOTA BHARU, 4 Jun- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan 300,000 pengunjung pada Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 dengan nilai jualan sebanyak RM3.5 juta.

Program selama sebelas hari itu berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, Kelantan dan memanfaatkan 170 usahawan tani yang diberi ruang untuk memasarkan hasil pertanian menerusi 176 lot yang disediakan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, inisiatif itu adalah selari dengan fasa peralihan ke endemik yang menuntut usaha dalam menyediakan ruang pasaran kepada usahawan dalam memulihkan semula ekonomi setempat dan negara.

"Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pihak FAMA yang menjadi penganjur dan kerjasama yang telah diberikan kerajaan negeri untuk menjayakan majlis ini yang memberi impak terutama kepada pengusaha, usahawan dan pengunjung," kata Ahmad.

(Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 sasar 300,000 pengunjung)

Beliau berkata, industri florikultur terutama bunga orkid menjadi salah satu penyumbang kepada nilai eksport negara apabila sebanyak RM417.3 juta berjaya direkodkan tahun lalu.

Nilai tersebut menunjukkan peningkatan berbanding RM403 juta pada tahun sebelumnya.

"Pesta orkid ini pesta orkid bunga dan herba juga. Ini telah menjadi satu daripada acara tahunan terutama orkid yang menjadi pilihan pihak tempatan bahkan untuk dieksport ke luar negara dan pendapatan setiap tahun terus meningkat," katanya selepas merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di RTC Tunjong.

Hadir sama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Berikutan sambutan yang baik, Ahmad menyarankan Pesta Orkid, Flora dan Herba dapat dimasukkan dalam agenda pelancongan negeri selain RTC Kelantan akan dinaik taraf sebagai pusat florikultur yang utama di pantai timur selari dengan peranan FAMA.

(Datuk Seri Ahmad Hamzah semasa merasmikan Pesta Orkid, Flora dan Herba 2022 di RTC Tunjong)

Pesta Orkid, Flora dan Herba 2019 telah mencatat kehadiran 300,000 pengujung dengan nilai jualan sebanyak RM2.6 juta.

Pesta Orkid, Flora dan Herba bermula pada tahun 2014 dan bagi tahun ni adalah edisi yang ke-7.

Program tersebut juga bersifat serampang dua mata yang turut mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang bakal diadakan pada bulan Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Media Baharu