fb fb fb fb fb

MAFI komited pastikan pengekalan kawasan penanaman padi demi agenda Sekuriti Makanan Negara

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Kawasan jelapang padi di negeri Kedah akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan khususnya bagi meningkatkan pendapatan petani yang berada dalam golongan B40.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kementeriannya akan terus komited memastikan Kedah kekal sebagai negeri jelapang padi demi agenda Sekuriti Makanan Negara.

"MAFI berpandangan bahawa pengekalan kawasan penanaman padi adalah amat penting dalam memastikan jaminan bekalan makanan negara yang mencukupi terutama ketika keadaan terkesan oleh COVID-19 ini," katanya.

Mengenai cadangan mempertimbangkan imbuhan atau pampasan kepada negeri-negeri yang menjadi pengeluar utama padi negara, Ahmad berkata pelbagai bentuk subsidi dan bantuan diberikan.

Bagaimanapun beliau berkata kementeriannya dan pihak berkepentingan lain akan terus berbincang bagi mewujudkan situasi menang-menang demi agenda Sekuriti Makanan Negara.

"Dalam menyokong agenda Sekuriti Makanan Negara, pelbagai bentuk subsidi dan bantuan telah diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk input dan output pertanian, pembinaan infrastruktur baru dan naiktaraf infrastruktur pengairan sedia ada," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai cadangan mempertimbangkan imbuhan atau pampasan kepada negeri pengeluar utama padi memandangkan negeri terbabit mengalami kos lepas perolehan hasil negeri dalam bentuk percukaian.

(Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah)

Sementara itu, Ahmad berkata, negara masih perlu mengimport hampir 30 peratus beras setiap tahun bagi menampung keperluan penduduk di negara ini.

"Berdasarkan kepada perkara tersebut, MAFI menyedari bahawa kebergantungan kepada beras import akan menjejaskan sekuriti bekalan makanan negara sekiranya terdapat gangguan bekalan daripada faktor-faktor luar kawalan seperti sekatan perdagangan luar, pandemik wabak penyakit dan sebagainya.

"Justeru, sekuriti makanan negara bagi beras perlu diperkukuhkan selaras dengan perancangan yang terkandung dalam dokumen dasar utama MAFI iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara," katanya.

Katanya, bilangan dan hasil pendapatan pesawah menerusi program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) sehingga Disember tahun lalu juga telah dapat meningkatkan sebanyak 28 hingga 180 peratus, iaitu melebihi sasaran ditetapkan.

"Seramai 3,811 orang pesawah telah mendapat manfaat daripada program SMART SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,777.7 hektar di beberapa tempat termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan IADA Seberang Perak" katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya, Program SMART SBB melibatkan tiga entiti utama iaitu Special Purpose Vehicle (SPV) iaitu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), golongan pesawah dan Syarikat Peneraju.

"SMART SBB adalah inisiatif baharu kementerian bertujuan meningkatkan hasil padi domestik menerusi penglibatan pihak swasta yang telah sedia terlibat dalam industri, melalui pelaburan modal, kepakaran dan keupayaan teknologi.

“Program SMART SBB menyasarkan peningkatan purata hasil padi nasional kepada 7.0 tan metrik sehektar dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berbanding purata hasil semasa sekitar 3.5 hingga 4.3 tan metrik sehektar bagi membantu pencapaian Tahap Sara Diri (SSL) beras negara pada tahap 75 peratus menjelang tahun 2025 atau sebelum berakhirnya RMK12,” katanya.

Beliau menjawab soalan Khalid Abdul Samad (PH-Shah Alam) yang mahu tahu apakah usaha baharu pihak kementerian bagi mengurangkan kebergantungan beras import untuk penggunaan negara.





Media Baharu