Lukisan Ainul Syeefa, murid MBPK autistik terpilih hiasi kalendar 2026

Ainul Syeefa Zamrol (kiri) dan Jamkhuriyati Hussain, Pengetua SMoKBJ (kanan) bersama antara ratusan lukisan yang dihasilkan oleh Ainul Syeefa

PENDANG, 4 Februari- Seorang murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) autistik di sini, Ainul Syeefa Zamrol, 15 tahun, membuktikan bakat luar biasa apabila potret harimau hasil karyanya dipilih untuk menghiasi kalendar 2026 sebuah bank dan tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ainul mula melukis sejak tujuh tahun dan menghasilkan ratusan karya dalam pelbagai medium.
  • Awalnya fokus singkat, namun kemampuan fokusnya bertambah baik dari masa ke masa.
  • Karyanya terinspirasi dari legenda tempatan dan disokong oleh program PPKI sekolah.
  • Karya Ainul dipaparkan dalam kalendar bank berturut-turut dan dipuji warganet.

Didiagnosis dengan autisme tahap sederhana sejak kecil, Ainul Syeefa mula melukis seawal usia tujuh tahun.

Sejak itu, beliau telah menghasilkan ratusan karya dalam pelbagai medium termasuk kanvas, kertas, botol dan digital.

Anak bongsu pasangan guru berkenaan pada awalnya tidak menunjukkan minat dalam bidang seni sehingga bakatnya dikesan ketika menyertai kelas seni percuma anjuran Balai Seni Lukis Negeri Kedah.

Menurut ibu Ainul Syeefa, Suraya Abdul Rahman, cabaran utama pada peringkat awal adalah fokus anaknya yang singkat.

“Pertama kali saya bawa dia ke kelas seni, dia hanya mampu fokus lima minit sahaja. Lama-kelamaan, dari lima ke sepuluh minit, kami dapat lihat peningkatan; dia mula lebih fokus dan lukisannya semakin baik.

“Kini, kemampuan fokusnya terus meningkat sehingga hari ini,” katanya.

Karya seni Ainul Syeefa yang terpilih menghiasi kalendar sebuah bank yang mana potret harimau (kanan) tular di media sosial

Karya Ainul Syeefa yang juga merupakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Model Khas Bukit Jenun (SMoKBJ) kebanyakkannya mengambil inspirasi daripada kisah puteri legenda tanah air seperti Puteri Lindungan Bulan, Mahsuri dan Puteri Gunung Ledang.

“Insya-Allah, sebelum Mac, kita akan melaksanakan galeri Ainul Syeefa ini. Saya juga berharap, seterusnya kita boleh melukis mural di blok sekolah yang masih kosong menggunakan karya adik Ainul Syeefa.

“Mungkin, melalui inisiatif ini, kita juga dapat mengenal pasti bakat lain di sekolah kami,” jelas Pengetua SMoKBJ, Jamkhuriyati Hussain.

Terdahulu, potret harimau hasil karya Ainul Syeefa pada kalendar sebuah bank tular di media sosial dan mendapat pujian warganet.

Karyanya turut dimuatkan dalam kalendar sama selama tiga tahun berturut-turut sejak 2024 bersama 15 anak autistik lain dari seluruh negara.

Selain itu, Ainul Syeefa pernah menyertai beberapa pameran lukisan peringkat antarabangsa termasuk pameran B&W 400 International dan PICASSO International Art.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan