fb fb fb fb fb

LUAS berjaya tangani pencemaran bau di Sungai Gong

Foto FB LUAS

KUALA LUMPUR, 27 April- Satu pencemaran bau melibatkan bahan diesel di Sungai Gong berjaya ditangani Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Tindakan kawalan dan pencegahan turut dilakukan menerusi kerja-kerja penyemburan menggunakan rawatan biologikal, agar tiada sebarang implikasi wujud terhadap sungai berkenaan.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian berkata pencemaran melibatkan bahan seakan diesel dengan kadar satu tan itu berjaya dikenal pasti Skuad Pantas LUAS kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

"Siasatan segera telah dilaksana dan menemukan sebuah jentera pengorek kira-kira 150 meter dari tebing Sungai Gong dan berhampiran sebuah premis kilang.

Jentera tersebut dikenal pasti telah digunakan dalam urusan kerja pemasangan gabion secara haram selain tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan," kata Loy Sian dalam satu kenyataan.

Selain itu, LUAS turut mengeluarkan arahan pemindahan jentera berat itu susulan berpotensi menyebabkan pencemaran dan gangguan operasi Loji Rawatan Air (LRA) utama negeri.

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 59 (1)(b) Enakmen LUAS 1999 berhubung kesalahan menjalankan aktiviti kemasukan atau pelepasan bahan pencemar tanpa lesen LUAS.


(Foto FB LUAS)

Dalam masa sama, LUAS akan menjalankan tindakan susulan penguatkuasaan bagi pematuhan lesen lain yang berkaitan terhadap premis berkenaan.

 

Media Baharu