fb fb fb fb fb

LTAT ambil 38 sekolah sebagai Sekolah Angkat MADANI, dua di Sabah

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas melawat Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu hari ini/ Foto RTM

KOTA KINABALU, 21 September - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengambil 38 sekolah dalam kem tentera di seluruh negara sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan dua daripadanya di Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah program MADANI yang dilaksanakan oleh LTAT bersama-sama dengan syarikat dan kumpulannya bagi membantu sekolah terbabit.

"Hari ini di Sabah kita telah membuat penyampaian kepada dua sekolah, satu sekolah dalam kem di sini dan satu lagi dalam kem di Kota Belud. Setiap sekolah mendapat sumbangan RM25,000," kata beliau ketika ditemui pemberita selepas melawat Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Sekolah Angkat MADANI dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya sektor korporat Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan.

Selain daripada program Sekolah Angkat MADANI, LTAT turut melaksanakan program Kem Santuni MADANI yang bertujuan meningkatkan kemudahan di kem tentera dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap kem.

Terdapat lima kem di bawah program ini iaitu dua di Sabah dan tiga di Semenanjung.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN