fb fb fb fb fb

LPPKN sasar 1,200 polis wanita sertai kempen kesedaran kanser reproduktif

ALOR SETAR, 1 Jun- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN menyasarkan seramai 1,200 anggota dan pegawai polis wanita kontinjen Kedah untuk menyertai kempen kesedaran kanser reproduktif.

Ia bertujuan memastikan kesejahteraan kesihatan anggota polis wanita dalam mendapatkan kesedaran tentang kesihatan kanser serviks dan payudara agar dapat dibendung dan dikenal pasti dengan lebih awal.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah memaklumkan program tersebut merupakan kesinambungan daripada pelancaran di peringkat kebangsaan pada September tahun lalu yang melibatkan kementerian Pembangunan Wanita melalui LPPKN bersama PDRM.

Menurutnya, program berkenaan boleh dimanfaatkan secara percuma oleh seluruh keanggotaan polis wanita dalam usaha melindungi dan menjaga kebajikan mereka.

Inisiatif program susulan yang diadakan di peringkat daerah dijangka dapat menyebarluaskan lagi perkhidmatan kemudahan kesihatan kepada golongan sasar.

"Program ini berskala kecil kerana kita laksanakan di peringkat daerah, jadi ini adalah program yang pertama yang kita adakan dengan ada komitmen yang begitu tinggi sekali daripada Ketua Polis Negara menyebabkan kita mengadakan program di peringkat negeri,"katanya.
 
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan di bawah dasar bajet bagi seluruh negara dengan jumlah sasaran 24,000 wirawati bakal mendapat manfaat pemeriksaan kesihatan yang akan dijalankan secara berfasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian kempen kesedaran kanser reproduktif yang disempurnakan oleh Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Setar.


(Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif, disempurnakan oleh Ketua Polis
Kedah 
Wan Hassan Wan Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di Alor Setar)

Media Baharu