Lindung 24/7 PERKESO dilaksana pertengahan tahun ini

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Skim Lindung 24/7 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skim Lindung 24/7 PERKESO dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini selepas perancangan teliti.
  • Skim diselaraskan agar sejajar dengan program PERKESO lain sebelum dilancarkan.
  • Rang Undang-Undang Pindaan 2025 memperkenalkan perlindungan 24/7 termasuk luar waktu bekerja.
  • Faedah termasuk FHUS, FHUK, Elaun Layanan Semasa dan Faedah Pengurusan Mayat.

Beliau berkata pihaknya perlu mengambil langkah yang cermat sebelum melaksanakan mana-mana inisiatif.

“Sudah pastinya kami akan memastikan skim ini selari dengan program-program yang lain.

“Buat masa ini, skim ini masih dalam perancangan dan akan dilancarkan sebelum hujung tahun 2026,” katanya selepas program Majlis Media Luncheon Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ‘Lindung Sahabat’, di sini hari ini.

Terdahulu, Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang memperkenalkan Skim Lindung 24/7 telah diluluskan Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025.

Perkeso sebelum ini menyatakan menerusi Lindung 24/7, pekerja akan menikmati jaringan keselamatan sosial secara menyeluruh, termasuk bagi kes kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, berbeza dengan skim terdahulu yang hanya melibatkan insiden berkaitan pekerjaan.

Antara faedah yang bakal dinikmati pekerja yang layak ialah Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Elaun Layanan Semasa (ELS), serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM).