fb fb fb fb fb

Limpahan Sungai Gunung Jerai: 4 Kampung dilanda banjir kilat

Banjir kilat dan kepala air di sekitar Yan, Kedah susulan hujan lebat beberapa jam sejak pukul 1 petang tadi

YAN, 7 September – Empat buah kampung di Yan mengalami banjir kilat susulan limpahan air sungai dari puncak Gunung Jerai selepas hujan lebat selama lebih sejam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Noorhamidi Ali, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang itu melibatkan Kampung Ruat, Kampung Raga, Kampung Titi Bakong, dan Kampung Seberang Pekan Yan.

"Keadaan masih terkawal ketika ini dan pemantauan sedang dilakukan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Bomba Sukarela dan Komuniti, polis, serta Angkatan Pertahanan Awam," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara kawasan yang dipantau adalah kawasan air terjun Seri Perigi, yang menunjukkan arus air lebih deras berbanding biasa.

Hujan lebat yang bermula pada pukul 12 tengah hari turut menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di sekitar kawasan tersebut agar sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Setakat ini, tiada penduduk yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

GRACE AISYAH KEDAYAN