fb fb fb fb fb

Lima rumah kedai musnah terbakar di Bachok

Foto JBPM

BACHOK, 29 April- Lima rumah kedai musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohd Ghazali berkata kebakaran melibatkan tiga rumah kediaman dan dua kedai yang menjual peralatan rokok elektronik serta permainan kanak-kanak.

"Satu kebakaran struktur yang melibatkan tiga rumah, membabitkan tiga keluarga.

"Dua unit ataupun dua pintu rumah kedai yang dijadikan tempat menjual vape dan alat permainan kanak kanak.

"Panggilan pertama kebakaran diterima BBP Pengkalan Chepa pada pukul 6.58 pagi tadi.

"Tiga jentera dengan kekuatan 18 anggota dari BBP Pengkalan Chepa turut dibantu BBP Kota Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian selepas operasi memadamkan kebakaran di sini.

Sementara itu, seorang mangsa, Azizul Abdul Ghani berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan terdengar bunyi letupan kecil di rumah sebelah.

Katanya, pelik akan situasi tersebut, beliau bergegas keluar sebelum melihat rumah sebelahnya sudah terbakar.

Azizul bagaimanapun bersyukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku walaupun hanya tinggal sehelai sepinggang.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM